| 
  • If you are citizen of an European Union member nation, you may not use this service unless you are at least 16 years old.

  • You already know Dokkio is an AI-powered assistant to organize & manage your digital files & messages. Very soon, Dokkio will support Outlook as well as One Drive. Check it out today!

View
 

Budaya Membaca

Page history last edited by roszelan@... 15 years, 10 months ago
 
Kaedah Membaca Optimum
 
TOPIK 1 - Kemahiran Membaca: Satu Pengenalan
 
Kemahiran membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ia menjadi semakin penting apabila seseorang itu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu kolej, institut atau universiti. Membaca membawa pengertian yang berbagai kepada aktiviti berfikir. Proses membaca tidak akan tercapai dengan sepenuhnya sekiranya pembacaan berikut tidak disertai dengan konsep kefahaman.
Mengikut pendapat Kennedy (1981) telah merumuskan konsep membaca seperti berikut:
"Proses berfikir yang melibatkan pembaca memahami idea mengikut pengalaman, keperluan dan tujuan bacaan."
Pandangan Bush dan Geubner (1975) pula menyatakan bahawa:
"Tafsiran symbol tulisan, memahami makna tulisan, penyerapan idea yang dipersembahkan oleh penulis dan proses berfikir adalah konsep membaca."
Membaca melibatkan proses deria dan minda. Kedua-dua proses ini adalah saling berhubungan antara satu sama lain. Proses bacaan yang melibatkan organ deria seperti mata dan telinga adalah kurang berkesan berbanding dengan proses minda. Pembacaan melalui minda amat berkesan kerana ia melibatkan otak yang bertindak memproses bahan bacaan.
Sebenarnya, aktiviti membaca adalah suatu proses yang kompleks. Membaca melibatkan proses komunikasi di antara pembaca dengan penulis melalui sumber tulisannya. Ia melibatkan tahap pemikiran kognitif yang tinggi.
Thorndike (1917) menyatakan bahawa membaca melibatkan proses berfikir, merenung, memberi nilai, membuat analisis dan sintesis, memilih maklumat, membandingkan maklumat dan mengukur maklumat tersebut.
TOPIK 2 - Falsafah konsep membaca
 
Kesediaan membaca bergantung kepada konsep kematangan mental. Gangguan kepada mental akan mengakibatkan masalah kepada kebolehan membaca. Kesediaan membaca juga penting dan menjadi asas untuk peringkat perkembangan pemikiran pelajar-pelajar. Kemahiran membaca boleh diajar atau dilatih sebelum mendapat pengajaran bacaan formal di sekolah.
Kemahiran membaca juga perlu dipertingkatkan supaya pembaca dapat menimba ilmu yang sudah sedia ada dan diabadikan dalam bentuk penulisan. Aktiviti membaca adalah aktiviti berfikir secara mendalam sebelum menerima atau menolak bahan bacaan tersebut. Jika tidak berfikir secara membaca, orang itu sebenarnya tidak membaca.
Pelajar dianggap gagal mengamati tabiat membaca dengan sebaiknya sekiranya tidak memiliki kemahiran membaca. Seseorang yang memiliki kemahiran dalam pembacaan dapat mengoptimumkan pembacaan dalam satu jangkamasa yang ditentukan. Seseorang pelajar yang mempunyai kaedah paling optimum semestinya mempunyai kebolehan dalam menghayati bahan bacaan tersebut sama ada dari segi konsep dan pendekatan yang ditulis.
Pelajar yang menggunakan kaedah membaca paling optimum dipercayai dapat memahami dan menghuraikan kembali bahan yang telah dibacanya itu. Oleh sebab itu, falsafah pembacaan paling optimum mementingkan pemikiran yang berhubungan dengan otak.
TOPIK 3 - Rasional Pembacaan Optimum
 
Sebelum membaca, anda mestilah berada di dalam kedudukan bersedia atau situasi yang sesuai untuk membaca. Kesediaan membaca bergantung kepada kematangan mental untuk menghalang gangguan-gangguan lain semasa membaca. Sekiranya terdapat gangguan-gangguan tersebut, maka berlaku permasalahan dalam proses pembacaan. Kesediaan membaca sangat penting dalam membentuk tahap perkembangan dan pemahaman anda.
Penyerapan remaja kepada bahan bacaan seperti komik, novel, cerpen dan sebagainya akan mewujudkan budaya membaca dalam masyarakat. Budaya membaca merupakan salah satu cara hidup yang menjadikan pembacaan sebagai perlakuan yang sentiasa diamalkan. Bagi melahirkan budaya membaca, ahli masyarakat perlu mempunyai nilai dan sikap suka kepada ilmu pengetahuan dan menggunakan ilmu pengetahuan tersebut untuk kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, anda akan akan menggunakan segala kemahiran yang ada pada diri anda bagi mencapai tingkat pembacaan yang optimum. Hal ini adalah penting kerana ia dapat mengajak anda berfikir untuk membuat rumusan atau kesimpulan daripada maklumat yang telah dibaca itu.
Salah satu daripada keistimewaan yang diperolehi daripada kaedah pembacaan paling optimum ialah anda dapat mentafsir dan meramal apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh penulisnya. Dengan ini, secara tidak langsung anda dapat menguasai bahasa dan maksud yang dilahirkan, tersurat atau tersirat.
TOPIK 4 - Ciri-ciri Pembacaan Yang Baik
Anda mestilah mengetahui cara untuk menjadi seorang pembaca yang baik. Pembaca yang baik dapat mencapai tahap pembacaan yang optimum. Ciri pembaca yang baik ialah mesti banyak membaca. Banyak membaca tidak bererti anda dapat memperolehi ilmu dan maklumat sahaja, tetapi dapat memahami hakikat keharusan membaca. Anda juga mesti mempelbagaikan objektif pembacaan mengikut kesesuaian masa, tempat dan jenis bahan bacaan tersebut.
Sebagai seorang pembaca yang baik, anda sangat digalakkan supaya memperluaskan skop pembacaan. Jika pelajar mahu menjadi pembaca yang baik, pelajar harus juga membaca buku-buku atau bahan bacaan lain seperti sosio-budaya, ekonomi, politik dan komputer. Dengan skop pembacaan yang sedemikian, dunia pemikiran anda akan menjadia luas dan matang.
Salah satu faktor yang ditekankan dalam pembacaan secara optimum ini adalah memastikan bahawa semua bacaan yang dibaca itu difahami dengan sepenuhnya. Tidak ada gunanya anda membaca sekiranya tidak dapat memahami apa yang sedang dibaca. Oleh itu, anda haruslah menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan bacaan serta mengetahui kaedah membaca yang sesuai.
Pembaca yang baik tidak akan menerima keseluruhan hujah dan fakta-fakta daripada buku yang dibacanya. Sebaliknya, mereka memiliki keberanian untuk mengemukakan pandangan sendiri. Mereka boleh mengulas kembali buku tersebut dengan terperinci dan mampu merealisasikan apa yang difahami itu dalam kehidupan seharian.
Topik 5: JENIS-JENIS BAHAN BACAAN
 
Sebelum anda mula membaca, pastikan terlebih dahulu anda mengetahui jenis-jeins bahan bacaan yang sesuai untuk dibaca. Buku teks merupakan "buku rasmi" pelajar yang perlu dibaca. Buku ini bertujuan untuk membimbing para pelajar bagi mendalami sesuatu ilmu. Buku teks ditulis dengan struktur yang membolehkan para pelajar mendapatkan dan memahami asas bidang ilmu secara mudah.
Suratkhabar merupakan bahan bacaan yang sangat besar pengaruhnya kepada pembaca di serata dunia. Suratkhabar menyiarkan banyak maklumat dan panduan kepada para pembaca. Anda seharusnya menjadikan suratkhabar sebagai bahan bacaan harian. Dengan membaca suratkhabar, anda seiring dengan perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling dunia kita.
Ensiklopedia atau bahan-bahan rujukan yang berteraskan ilmu pengetahuan digunakan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesuatu perkara. Ensiklopedia mengandungi penerangan umum tentang sesuatu perkara. Bahan-bahan rujukan juga memudahkan anda membuat kertas kerja, karangan ataupun esei di samping menyemak kembali tugasan yang telah siap. Bahan-bahan bacaan sedemikian akan meningkatkan kemahiran membaca dan seterusnya menjadi pembaca yang optimum.
BIMBINGAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN
 
Ramai di antara rakan remaja kini akan menghadapi peperiksaan, terutamanya di tingkatan 3 yang akan menghadapi Penilaian Menengah Rendah dan tingkatan 5 yang akan menempuh Sijil Pelajaran Malaysia. Namun begitu, rakan remaja yang lain juga akan menjalani peperiksaan akhir tahun atau ujian bulanan. Manakala mereka yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi pula sibuk dengan tugasan (assignment), ujian atau peperiksaan di peringkat fakulti. Justeru itu, boleh dikatakan hampir semua remaja yang sedang menuntut sama ada di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi akan menghadapi peperiksaan. Artikel minggu ini akan menyentuh serba sedikit tentang bimbingan menghadapi peperiksaan.
Persediaan sebelum menghadapi peperiksaan
 
a.                   Mengulangkaji: Lakukan di dalam 3 peringkat
      1. Sebaik sahaja selepas menerima pelajaran baru.
      2. 2 bulan sebelum hari peperiksaan, biasakanlah diri dengan soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.
      3. Masa di antara ulangkaji (perkara 2 di atas) sehingga hari peperiksaan.
b.       Kawal perasaan: Jangan panik! Lakukan perkara berikut untuk mengurangkan ketegangan
      1. Hentikan apa jua perkara yang anda sedang lakukan buat seketika.
      2. Beritahu diri anda supaya bertenang dan berehat.
      3. Tarik nafas perlahan-lahan, lepaskan secepat yang dapat. Ulangi beberapa kali.
      4. Ingat sesuatu yang indah sewaktu menarik nafas panjang itu.
      5. Ulangi proses di atas setiap kali anda merasa panik.
Semasa di dewan peperiksaan
c.                   Pemilihan soalan (berbentuk esei)
1.       Baca arahan pada permulaan kertas soalan dengan teliti. Ketahui berapa banyak soalan yang wajib dijawab dan perlu dijawab, mungkin ada beberapa bahagian yang perlu pemilihan soalan.
2.       Pilih soalan yang anda betul-betul yakin boleh dijawab, iaitu anda dapat memberikan isi-isi yang tepat dan terbanyak serta mampu menghuraikannya dengan baik.
3.       Luangkan sedikit masa untuk memahami soalan yang dipilih. Ia memberikan faedah yang besar kerana dapat mengelakkan jawapan anda menyimpang daripada kehendak soalan sebenarnya. Beberapa contoh diberikan seperti berikut:

KATA KUNCI
MEMERLUKAN ANDA
Huraikan
Memberi penjelasan akan kenyataan yang diberi di dalam soalan tersebut.
Bincangkan
Memberi isi-isi penting dan menganalisis tiap-tiap satu itu dengan cara kritikal iaitu pro dan kontra.
Buktikan
Memberikan contoh-contoh dan kesan-kesan mengenai sesuatu soalan yang biasanya berbentuk rumusan atau pendapat
Sejauhmanakah
Menunjukkan bahawa sesuatu kebenaran ada batasannya. Berikan faktor lain selain daripada faktor utama yang dihuraikan

4.        Pastikan penyampaian jawapan anda mudah difahami, tepat dan kemas. Jangan tulis jawapan yang meleret, terlalu panjang, berbelit-belit, berulang kerana ia membazirkan masa.
5.       Peruntukkan masa yang sesuai dengan soalan dan jumlah markah yang disediakan bagi setiap soalan. Semakin tinggi markah yang diperuntukkan, semakin banyak masa yang perlu diluangkan. Ini juga memudahkan anda mengurus masa dan anda tidak akan leka dengan sesuatu soalan dan terlupa menjawab soalan lain.
d.       Soalan berbentuk aneka pilihan
1.       Baca arahan pada permulaan kertas soalan dengan teliti. Ketahui berapa banyak soalan yang wajib dijawab dan perlu dijawab, mungkin ada beberapa bahagian yang perlu pemilihan soalan.
2.       Pilih jawapan yang tepat. Jika anda merasa ragu-ragu, gunakan teknik "buang jawapan salah" (seperti rancangan "Who wants to be a millionaire") dengan membuang jawapan yang anda fikir memang bersalahan dengan kehendak soalan. Jawapan yang tinggal akan menjadi jawapan muktamad anda.
3.       Sekiranya masih ada beberapa pilihan jawapan dan anda masih tidak dapat menentukan jawapan yang tepat, anda terpaksa meneka jawapan anda. Sekurang-kurangnya peluang anda untuk mendapat jawapan yang betul adalah lebih tinggi daripada tidak membuang langsung jawapan yang anda pasti salah.
 
 
BIMBINGAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN (Bhg. 2)
 
Artikel minggu ini merupakan sambungan daripada minggu lepas. Ia akan menyentuh aspek mengulangkaji dan teknik menjawab soalan semasa peperiksaan.
Mengulangkaji pelajaran
Pelajar perlu bijak membezakan di antar "belajar" dan "ulangkaji". Ulangkaji bermakna kita mengharap semua matlumat dan fakta dari nota-nota ringkas dan bukannya menyogokkan fakta-fakta dan maklumat-maklumat baru yang membingungkan kepala.
Tempoh mengulangkaji
Ada pakar mengatakan masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada yang mengatakan selama 3 minggu. Walau bagaimanapun adalah mustahil untuk mengatakan dengan tepat akan jumlah masa yang perlu diperuntukkan kerana kemampuan seseorang itu adalah berbeza. Tetapi sebagai panduan 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk mengulangkaji. Ada yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana kita telah menamatkan tempoh belajar untuk menghadapi peperiksaan percubaan. Tetapi ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan.
Cara mengulangkaji
1.       Perancangan yang rapi.
2.       Tekanan dan gangguan perasaan semakin terasa apabila menjelang hari peperiksaan. Tekanan akan dapat dikurangkan dengan berehat dan yang penting kita mempunyai perancangan yang ketat menjelang peperiksaan.
3.       Tumpukan pada topik utama sahaja. Bertanyalah kepada guru anda bagi mendapatkan sedikit sebanyak "hint" (bayangan) perkara yang akan keluar di dalam peperiksaan. Cikgu yang baik akan membantu anda.
4.       Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya untuk topik yang dijangka keluar. Namun begitu, jangan terlalu berharap, anda juga perlu mengkaji topik lain yang MUNGKIN akan keluar?
5.       Merangka jawapan dan berlatih menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
6.       Musuh utama ketika mengulangkaji ialah jemu. Keadaan ini dapat dielakkan dengan menukar rutin yang akan menyebabkan anda segar semula. Caranya ialah:-
         i.            Anda boleh mendapatkan khidmat tuisyen dimana anda boleh berbincang mengenai subjek yang sukar.
                               ii.            Mengulangkaji secara berkumpulan. Walau bagaimanapun terdapat unsur yang merbahaya apabila belajar secara berkumpulan kerana terdapat kecenderungan untuk berbual kosong. Fikir sedalam-dalamnya tentang personaliti rakan-rakan kita untuk sama-sama berbincang. Jika kita merasakan tindakan kita untuk berbincang bersama-sama rakan-rakan lain tidak membawa banyak manafaat, elakkan untuk melakukan perbincangan.
Hari Peperiksaan
Apabila hari peperiksaan menjelang tiba, tiada siapa yang akan menolong kita. Hanya kita yang boleh membantu diri kita sendiri. Semuanya mesti berasa dalam ingatan kita. Tiada lagi masa untuk mengulangkaji atau membaca buku. Doa-doa kita yang lepas adalah pendorong dan meyakinkan kita untuk lulus peperiksaan. Jangan bimbang, kita memang menantikan hari ini, menanti saat-saat menghadapi peperiksaan ini.
Apa yang perlu dilakukan
1.       Menyediakan segala kelengkapan menghadapi peperiksaan seperti kad pengenalan, pen, pensil, pembaris dan peralatan lain. Sediakan jam tangan kerana bimbang jam di dalam dewan terlindung dari pandangan kita.
2.       Persiapan terakhir - Perkara yang perlu diambilkira seterusnya ialah, "Patutkah aku pergi ke sekolah bersendirian?". Ramai yang berpendapat tidak perlu berteman. Ini kerana ada dikalangan pelajar yang bersama rakan-rakan sering bercakap tentang kebimbangan dan ketakutan mereka tentang peperiksaan. Jika bersama-sama rakan pun biarlah rakan yang memberi ketenangan kepada kita. Bagi pelajar yang percaya, pen biru akan membawa tuah, teruslah menggunakannya. Bagi pelajar Muslim tentulah doa yang mengiringi keyakinan mereka ke dewan peperiksaan. Kita perlu berpegang kepada sesuatu untuk memberi harmoni kepada minda kita.
3.       Jika waktu peperiksaan bermula pada pukul 9.00 pagi, peruntukkan sedikit masa untuk sampai sebelum waktunya. Makanlah sebelum menghadapi peperiksaan. Jangan membiarkan diri terasa lapar kerana kita memerlukan tenaga untuk menghadapi peperiksaan.
4.       Perlu diingatkan kepada calon supaya pergi ke tandas terlebih dahulu untuk mengelakkan calon dari keluar semasa peperiksaan sedang dijalankan. Gangguan ini hanya mengganggu konsentrasi.
5.       Pelajar yang tenang ialah mereka yang siap sedia menghadapi peperiksaan. Seseorang akan tenang jika dapat awal ke tempat peperiksaan. Jika kita merasa tidak selesa semua ini akan ditunjukkan dalam kertas peperiksaan kita. Jika kita bersistematik dan tenang adalah tidak menghairankan jika kerja kita mudah dibaca dan kemas. Begitu juga dengan peralatan atau perkakas peperiksaan biarlah tidak menimbulkan masalah kepada kita seperti hilang atau tersalah letak.
6.       Perkara penting yang perlu kita ingat ialah menentukan tarikh dan waktu peperiksaan sebelum peperiksaan bermula. Bayangkanlah bagaimana kecewanya kita jika gagal dalam peperiksaan hanya kerana tersalah memastikan tarikh peperiksaan.
 
 
Peperiksaan bermula
1.       Jika ada topik ramalan yang keluar dalam soalan, tentulah kita merasa gembira. Kegembiraan itu janganlah disusuli dengan sifat tergopoh gapah. Keghairahan menjawab hanya akan menyebabkan kita terburu-buru mengejar fakta-fakta yang tersimpan dalam ingatan. Salah satu kesilapan calon ialah menjawab soalan dengan tergesa-gesa. Ini merupakan satu bentuk panik.
2.       Kebanyakan calon ingin menulis dengan cepat kerana calon merasakan mereka mempunyai masa yang singkat untuk ditulis kepada pemeriksa. Mereka ingin memberitahu kepada pemeriksa mereka tahu menjawab dan telah bersedia dengan peperiksaan. Mereka hanya melihat soalan sepintas lalu dan mula menulis apa yang mereka ketahui tentang topik itu. Jika kita mengamalkan sikap sebegini, kita sebenarnya berada dalam keadaan yang merbahaya.
3.       Kita tidak dapat mempengaruhi pemeriksa jika mendekati soalan dengan cara yang tidak tersusun kerana jawapan begitu selalu tidak mengikut kehendak soalan.
4.       Pastikan kita ada semua muka surat kertas peperiksaan. Kemudian bacalah arahan di dalam kertas peperiksaan. Cara yang baik ialah memulakan dengan tenang dan membaca soalan dengan berhati-hati sebanyak dua kali. Walaupun nampak tidak berfaedah tetapi ia merupakan disiplin yang berguna.
5.       Kelemahan calon semasa menjawab soalan.
a.       Ramai calon yang memberikan jawapan-jawapan yang ringkas atau sebaliknya memberikan jawapan yang panjang tetapi tidak mengandungi isi. Calon seperti ini belum lagi mencapai tahap kematangan dan pengetahuan berfikir serta tidak tahu berhujah.
b.       Masalah dari segi bahasa dan istilah. Penggunaan istilah atau perkataan tidak sesuai atau kurang tepat telah mengakibatkan sesuatu jawapan lain maksudnya.
c.       Menggunakan ayat yang panjang dan berbelit-belit. Keadaan ini menimbulkan kekaburan dan kekeliruan tentang idea dan hujah yang dikemukan oleh calon.
d.       Calon tidak menguasai fakta dan tidak dapat menghubungkait sesuatu fakta atau konsep yang kerapkali dipisahkan sehingga menyebabkan kesatuan isi jawapan menjadi lemah. .
e.       Tidak mematuhi arahan yang terdapat dalam kertas soalan. Misalnya mereka tidak mematuhi jumlah perkataan yang ditetapkan. Ini menyebabkan markah calon boleh dipotong.
f.        Mutu jawapan tidak seperti yang diharapkan sehingga tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Pengolahan jawapan kebanyakannya tidak baik disebabkan oleh dangkalnya kefahaman tentang isu yang ditimbulkan.
g.       Kerapkali memberikan apa yang mereka tahu dan bukannya apa yang ditanya.
h.       Memberikan jawapan secara umum sahaja. Ini kerana pengetahuan pelajar juga secara umum dan ditambah dengan kurang minat membaca. Banyak membaca buku rujukan yang diperaku di dalam sukatan pelajaran dapat membantu calon menjawab dengan matang dan jelas.
i.         Tulisan tangan yang buruk.
6.       Apabila kita telah membaca soalan sebanyak dua kali secara berhati-hati, beralihlah kepada soalan seterusnya. Periksalah jumlah soalan yang perlu dijawab dan soalan-soalan yang wajib dijawab. Tidak kira berapa kali telah diberitahu atau berapa kali kita telah melihat sendiri soalan-soalan tahun lepas, tetapi kita masih mesti memastikan pada hari peperiksaan kalau-kalau bentuk soalannya telah berubah. Kemudian bahagikan masa bagi setiap soalan dengan seimbang untuk dijawab dengan lancar. Kita juga perlu menyediakan masa untuk membaca semula jawapan yang telah ditulis. Adalah tidak bijak jika kita mengatakan adalah lebih berfaedah dalam masa 7 minit ini digunakan untuk menjawab soalan dari membaca semula semua jawapan. Melalui pembacaan semula kita dapat memperbetulkan ejaan, tulisan yang tidak jelas, tanda baca, imbuhan, penggunaan kata jamak, permulaan ayat atau fakta yang tertinggal. Pembetulan ini sedikit sebanyak membantu kita untuk memperolehi markah yang lebih.
Panik semasa peperiksaan
Mula-mula berhenti menulis, luangkan sedikit masa. Letak pen atau pensil, genggamkan tangan dan lembutkan anggota badan. Jangan silangkan kaki. Tarik nafas sedalam-dalamnya menerusi hidung. Dapatkan sebanyak mana oksigen. Sekiranya perlu ke bilik air minta kebenaran. Jangan fikir tentang kertas peperiksaan sehingga kembali ke dewan. Buat semula senaman tarik nafas. Setelah lega, mulalah dengan membaca/menyemak jawapan yang dibuat dan mula menjawab.
TIPS CEPAT PERSEDIAAN PEPERIKSAAN
7.       Bersedialah dengan nota poket yang lengkap, sekurang- kurangnya 2 bulan sebelum peperiksaan.
8.       Jadikan buku- buku teks sebagai rujukan sahaja.
9.       Elakkan dari mengamalkan belajar pada saat- saat akhir.
10.   Bagi pelajar yang lemah hendaklah mengambil masa yang lebih lama untuk mengulangkaji pelajaran.
11.   Rujuklah kepada guru apabila menghadapi masalah berhubungan dengan pelajaran.
12.   Dalam mengulangkaji pelajaran, pelajar hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang- kurangnya 10 minit.
13.   Berdoa kepada Allah sebelum dan selepas mengulangkaji.
14.   Luangkan masa untuk mengerjakan solat hajat dan membaca Al- Quran.
15.   Pelajar juga hendaklah menjaga kesihatan diri.

 

 

Di dewan peperiksaan
16.   Jangan berbincang atau menghafal di luar dewan.
17.   Melangkah masuk ke dalam dewan dengan kaki kanan.
18.   Patuhi semua arahan dan peraturan.
19.   Mulakan peperiksaan dengan bismillah dan doa seperti doa memulakan pelajaran.
20.   Baca soalan dengan teliti.
21.   Gariskan arahan yang penting dalam soalan.
22.   Untuk soalan esei, catatkan isi jawapan atau rangka jawapan terlebih dahulu untuk mengelakkan pelajar terlupa fakta.
Topik 8: TEMPAT MEMBACA YANG SESUAI
 
Tempat membaca sedikit sebanyak menentukan penerimaan dan pemahaman terhadap bahan-bahan yang dibaca. Jika tempat membaca tidak begitu selesa, maka pelajar tidak akan dapat ilmu dan maklumat secara terperinci. Seharusnya pelajar-pelajar membaca di tempat yang sunyi dan gangguan seperti bunyi televisyen, radio dan lain-lain lagi. Gangguan tersebut akan mengganggu kelancaran pemahaman pelajar terhadap bahan yang dibaca.
Bagi pelajar yang memiliki rumah yang besar, ada baiknya pelajar mengambil ruangan tersebut untuk mengkhaskan sebuah bilik untuk membaca. Sebaiknya bilik tersebut dilengkapkan dengan meja dan buku di samping rak-rak buku. Bilik khas di dalam rumah ini akan menjadi bilik pelajar sekeluarga membaca buku.
Sekiranya pelajar tidak mampu menyediakan sebuah bilik membaca di rumah, pelajar boleh menggunakan tempat lain seperti perpustakaan. Di perpustakaan terdapat banyak bahan bacaan yang berilmiah. Pelajar mesti pandai memperuntukkan masa yang khas untuk berkunjung ke perpustakaan. Di perpustakaan pelajar bukan sahaja selesa untuk membaca buku tetapi pelajar juga dapat meminjam buku, majalah dan seumpamanya.
Selain itu, tempat menunggu juga dapat digunakan untuk membaca sekiranya mahu mempertingkatkan kemahiran membaca. Bagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman, peluang untuk mendapat pemahaman yang tinggi adalah lebih baik kerana jauh daripada gangguan-gangguan lain yang terdapat di kawasan bandar.
 
 
Topik 9: PENGGUNAAN MASA DALAM MEMBACA
 
Tabiat membaca mestilah dituruti dengan masa yang sesuai dalam membaca selain memahaminya. Jika sesuatu bahan bacaan itu tidak penting dan sekadar untuk hiburan sahaja, pelajar tidak seharusnya menggunakan pada masa utama. Masa utama adalah masa yang paling strategik untuk pelajar melakukan sesuatu tugas dalam keadaan diri yang segar dan suasana yang mendorong minat membaca.
Awal pagi adalah masa yang paling sunyi dan menenangkan fikiran semua individu. Pada waktu begini, jiwa dan fikiran pelajar lebih aman dan segar. Pada awal pagi pelajar mesti membaca dengan dua objektif sahaja iaitu:
1.       Mendapatkan maklumat dan ilmu. Seorang pelajar mestilah membaca buku teks, buku panduan dan nota pelajaran kerana pada waktu sebegini, daya ingatan kita sangat kuat. Maklumat dan ilmu pengetahuan yang dibaca senang diterima dan difahami.
2.       Mengulangkaji mata pelajaran pada awal pagi merupakan masa yang paling sesuai untuk para pelajar mengulangkaji pelajaran. Fikiran yang masih segar itu mudah menyerap apa sahaja bahan yang dibaca. Oleh yang demikian, pelajar dinasihatkan mengoptimumkan pembacaan pada waktu ini.
3.       Atas dasar waktu pagi adalah masa bermula kita membuka mata dan menghadapi dunia tersendiri, maka ianya akan bersifat "selesa, lega dan segar". Pada waktu sebegini banyak maklumat yang boleh diserap oleh perkara atau isi yang agak sukar dan kompleks. Contohnya, masa ini amat sesuai untuk meninjau dan meneroka isi matapelajaran sains atau matematik yang agak kompleks. Kalau kita cuba melakukan perkara yang kompleks ini di waktu petang atau malam, tatkala otak dan badan kita sudah penat, maka ianya akan menyusahkan dan memenatkan diri kita lagi.
Biasanya, waktu selepas solat maghrib masa utama yang sering digunakan untuk menelaah buku-buku pelajaran. Waktu sedemikian digunakan oleh pelajar dengan sempurna agar apa yang dibaca pada malam itu dapat pemahaman yang optimum. Kebanyakan pelajar pada waktu begini suka menonton televisyen daripada mengulangkaji pelajaran. Oleh yang demikian, kaedah membaca yang optimum tidak akan tercapai.
Topik 10: KAEDAH-KAEDAH DALAM PEMBACAAN (bahagian pertama)
 
Membaca adalah kemahiran yang diperlukan dalam pembelajaran seseorang. Jika dibuat perumpamaan, membaca adalah tiang kepada pembelajaran. Kaedah membaca adalah penting kepada setiap pelajar. Kaedah membaca adalah seolah-olah alat bagi membolehkan seseorang itu membaca dengan sempurna.
Oleh itu sebagai pembaca yang baik, pelajar mestilah mengetahui dan menggunakan kaedah-kaedah dalam membaca. Menurut Francis Bacon, "Ada buku untuk dinikmati yang lainnya untuk dicernakan". Kenyataan Bacon itu menunjukkan kepelbagaian bahan bacaan harus dibaca dengan kepelbagaian kaedah.
Umumnya terdapat enam jenis kaedah pembacaan iaitu pra-pembacaan, pembacaan luncuran, pembacaan imbasan, pembacaan teliti, pembacaan kritis dan pembacaan kreatif.
a) Pra-Pembacaan
Kaedah pra-pembacaan membolehkan pelajar mengetahui sepintas lalu tentang rangka isi kandungan sesuatu bahan bacaan. Isi kandungan tersebut mestilah mengandungi aspek-aspek seperti berikut:
  1. Idea utama
  2. Penaakulan
  3. Kesimpulan pengarang
Dengan menggunakan kaedah pra-pembacaan ini, pelajar dapat memahami sesuatu isi dengan cepat. Antara kaedah pra-pembacaan adalah seperti berikut:
  1. Mengetahui idea utama sebelum menghabiskan bahan bacaan tersebut
  2. Membantu pelajar untuk memahami dengan mudah dan cepat bahan bacaan tersebut.
  3. Menjimatkan masa pelajar kerana hanya membaca bahagian yang penting sahaja.
  4. Membantu pelajar untuk membuat keputusan sama ada untuk meneruskan bahan bacaan tersebut atau sebaliknya.
b) Pembacaan Luncuran
Seseorang pelajar yang mahir membaca tidak perlu memahami keseluruhan isi kandungan bahan bacaan tersebut. Pelajar boleh dianggap membuang masa sekiranya berusaha memahami perkara-perkara yang tidak penting dalam sesuatu subjek pelajaran. Oleh yang demikian, kaedah membaca secara luncuran digunakan bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dengan cara yang cepat.
Semasa membaca, pelajar akan membaca secara cepat dan akan berhenti untuk menangkap idea-idea utama yang difokuskan oleh pengarang. Kaedah ini juga disebut sebagai kaedah lompatan kerana ianya hanya mencari bahagian yang terpenting sahaja dalam bahan bacaan tersebut. Di antara kebaikan membaca secara luncuran adalah seperti berikut:
  1. Meningkatkan kepantasan membaca dan pemahaman pelajar.
  2. Menjimatkan masa dan tenaga pelajar.
  3. Membantu proses mengulangkaji secara pantas, beberapa jam sebelum sesuatu ujian atau peperiksaan.
Ramai pakar-pakar pembacaan mengatakan bahawa secara umumnya, kaedah luncuran merangkumi pembacaan secara Overview, Preview, Inview dan Review. Di bawah ini disediakan satu jadual kepada pelajar bagaimana yang dimaksudkan dengan kaedah luncuran itu.
  • Overview
  • Preview
  • Inview
  • Review
  • Baca kulit buku
  • Baca ringkasan bab atau kesimpulan
  • Baca bahagian yang masih belum dibaca
  • Kaji semula bahagian yang penting
  • Baca halaman isi kandungan
  • Baca ringkasan bab
  • Elakkan bahagian yang susah
  • Ambil nota
  • Baca tajuk bab, tajuk kecil, nota kaki dan graf
  • Baca permulaan dan akhir bab
  • Bersedia ambil nota
  • Baca bahagian yang belum dibaca
  • Lihat ilustrasi dan foto
  • Lihat kata kunci dan frasa
  • Semak nota untuk pemahaman
  • Hendak terus membaca
Topik 11: KAEDAH-KAEDAH DALAM PEMBACAAN (bahagian kedua)
b) Pembacaan Imbasan
Pembacaan imbasan bertujuan untuk mencari sesuatu dan fakta-fakta khusus dalam halaman bacaan. Pengkelasan bacaan secara imbasan terbahagi kepada 3 bahagian:
  1. Mencari maklumat yang mudah ditemui, misalnya tarikh sesuatu kejadian itu berlaku.
  2. Mencari jawapan yang memerlukan huraian yang panjang terhadap sesuatu persoalan.
  3. Menjawab soalan melalui pembelajaran dan pengalaman yang telah dilalui.
d) Pembacaan Secara Teliti
Pelajar sering menggunakan kemahiran membaca secara teliti semasa mengulangkaji pelajaran. Tujuan pembacaan teliti ialah untuk mengarap seluruh idea, ayat dan makna sesebuah bahan bacaan. Pembacaan teliti merangkumi tempat membaca, peralatan membaca dan teknik dalam membaca. Membaca dengan teliti sering dikaitkan dengan konsep ingatan yang kuat. Hal ini adalah kerana pembacaan teliti melibatkan daya pemahaman yang tinggi.
e) Pembacaan Secara Kritis
Pembacaan secara kritis bertujuan untuk menilai dan menganalisis sesuatu tulisan. Pelajar yang memiliki pemikiran dan pembacaan kritis boleh dikategorikan sebagai pelajar yang cemerlang dalam pembacaan. Pembacaan kritis mempunyai 4 kebaikan iaitu:
  1. Dapat memahami isi kandungan bahan bacaan secara tepat.
  2. Pelajar dapat memahami sesuatu topik secara menyeluruh dan mampu membuat rumusan mengenainya.
  3. Boleh mendapat data yang tepat melalui berbagai bahan bacaan yang dibuat rujukan.
  4. Pelajar dapat mengolah kembali secara mengemukan ayat dan pemahaman sendiri.
f) Pembacaan Secara Kreatif
Pembacaan secara kreatif melibatkan kemampuan pelajar untuk menjangkau aspek-aspek yang tidak tercetak di dalam bahan bacaan yang dibaca. Ia membabitkan proses-proses mental dan intelektual yang tinggi. Pemahaman yang disebutkan dalam pembacaan kreatif ialah dapat membuat tanggapan dan pemikiran sendiri oleh setiap pelajar yang berpotensi.
Kemahiran membaca secara kreatif tidak akan terjebak dalam pemikiran, idea, persembahan dan pendekatan yang rutin. Pelajar yang mempunyai kreativiti yang bagus biasanya dapat menguasai kemahiran membaca secara kreatif dengan sepenuhnya.
Melalui teknik-teknik pembacaan yang dinyatakan itu, pelajar dapat menggunakan sebagai panduan untuk menjadi seorang yang dapat membaca secara optimum mengikut kemampuannya. Hal ini adalah kerana tahap kecerdasan diantara satu sama lain adalah berbeza. Walau bagaimanapun keunikan manusia itu sendiri dapat membantu dirinya untuk mencapai tahap pembacaan paling optimum.
 
Topik 12: MEMBACA DENGAN PANTAS
Selalunya, pembaca yang mahir mampu membaca dengan kadar yang lebih cepat daripada pembaca-pembaca yang lain. Pelajar yang dapat membaca dengan pantas, dapat menjimatkan masa dan tenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lain. Dengan pembacaan yang pantas, pelajar dapat mengikuti sesuatu bahan bacaan itu dengan cepat disamping turut memahami perkara yang hendak disampaikan.
Sekiranya pelajar menguasai kemahiran membaca dengan pantas, pelajar dapat menangani pelbagai tugas harian lain dengan efisyen dan lebih meyakinkan. Pelajar dapat menyempurnakan sesuatu tugas dengan baik mengiku masa yang telah ditetapkan. Pelajar mesti mendahului masa bukan sering kehilangan masa.
Membaca secara pantas juga boleh menyegarkan minda para pelajar. Semasa membaca, minda pelajar akan bergerak aktif untuk mentafsir makna demi makna, data demi data, maklumat demi maklumat dan hujah demi hujah. Pengaktifan minda ini akan menjadikan seorang pembaca itu tahap pemikiran mantap dan segar.
Sebelum membaca, pelajar terlebih dahulu menguasai perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa. Dengan ini, pembaca akan menjadi lancar tanpa diganggu oleh istilah yang baru. Pelajar yang menguasai perbendaharaan kata akan lebih cepat memahami bacaan tersebut berbanding dengan pelajar-pelajar kurang perbendaharaan kata. Hal ini kerana pelajar tidak perlu lagi melihat kamus apabila terjumpa perkataan baru.
Topik 13: MEMBENTUK KUMPULAN MEMBACA
Tabiat membaca perlu menghayati bersama-sama oleh sekumpulan masyarakat. Tabiat tersebut tidak akan bertahan dan berkembang jika ia hanya dihayati oleh beberapa individu sahaja. Kumpulan membaca kerana ia dapat memotivasikan pelajar untuk terus menghayati tabiat membaca.
Minat merupakan satu motivasi secara langsung untuk mempertingkatkan lagi kesungguhan membaca. Tanpa motivasi, pelajar akan kehilangan minat. Apatah lagi untuk membaca bahan yang bersifat ilmiah dan teoritikal.
Sekiranya anda bersendirian, barangkali agak sukar bagi anda untuk mengikuti perkembangan buku kerana kekurangan sumber maklumat. Tetapi jika anda menganggotai kumpulan membaca yang aktif, sumber maklumat itu akan tersebar dengan mudah melalui perbincnagan dan pertukaran ide. Pelajar yang gemar membaca biasanya peka kepada perkembangan semasa di dunia.
Kumpulan belajar sangat penting kerana ia akan meningkatkan daya bacaan pelajar secara berperingkat peringkat. Kumpulan belajar menekankan aspek membaca dan seterusnya memahami bahan bacaan yang dibaca. Oleh sebab yang demikian, kumpulan belajar dianggap sebagai motivasi untuk mendorong kepada minat membaca.
 

 

Comments (0)

You don't have permission to comment on this page.